Blinking Cute Box Cat

Sunday 9 April 2017

Konsep Teknologi


Istilah teknologi umumnya seringkali dikaitkan dengan alat teknologi moden terutamanya alat elektronik seperti komputer, televisyen, radio, perakam pita video, pemain cakera padat, perakam kaset audio, projektor paparan hablur cecair (LCD), kamera digital dan telefon bimbit. Teknologi bermaksud produk atau alat media serta proses yang digunakan untuk membangunkan negara atau menyelesaikan sesuatu masalah dalam sistem pendidikan atau latihan.

Mengikut Galbraith (1967), technology is the systematic application of scientific  or other organised knowledge to practical tasks, yang membawa maksud teknologi adalah keupayaan dalam menggunakan pengetahuan sama ada pengetahuan saintifik atau pengetahuan lain yang tersusun, digunakan secara sistematik sehingga mampu mempamerkan amalan praktikal dalam melaksanakan sesuatu tugas sehingga tugas tersebut mencapai kejayaan. Aplikasi sistematik di sini bermaksud teknik yang digunakan perlulah mempunyai kerangka reka bentuk untuk menghasilkan satu sistem yang menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Pengetahuan lain yang tersusun bermaksud pengetahuan yang belum diuji dan dibuktikan secara saintifik  tetapi  diterima  amalannya  sebagai  suatu  pengetahuan  yang  benar berdasarkan pengalaman dan pengamatan manusia terhadap sesuatu tindakan. Pengaplikasian pengetahuan saintifik pula merujuk kepada teknik yang digunakan untuk mengaplikasikan idea atau teori di mana teknik ini telah diuji dan didapati berjaya manakala aplikasinya pula telah disahkan melalui ujian.

Teknologi juga mengikut Finn (1960) membawa maksud suatu proses ke arah penyelesaian masalah dengan menggunakan teknik, kaedah, reka bentuk atau alat yang berkesan dan teruji serta penggunaan pengetahuan sains dan lain-lain cabang ilmu untuk menghasilkan tugasan pembelajaran yang praktikal. Manakala Evans dan Nation (2000) menyatakan, “Technology is not a tool – it is an art or science of how to use a tool for a purpose.”

Selain daripada itu, Smaldino et.al (2004) menyatakan bahawa teknologi adalah sebagai produk atau bahan di mana penghasilan perkakasan dan perisian adalah hasil dari proses teknologi itu sendiri. Contohnya komputer (perkakasan) dan bahan CD- ROM (perisian) adalah hasil teknologi. Saettler (1990) turut menegaskan bahawa teknologi bukan hanya merujuk kepada penggunaan mesin sahaja, bahkan turut  meliputi teknik penggunaan pengetahuan saintifik. Menurutnya, teknik lebih penting daripada produk kerana untuk menghasilkan sesuatu, proses amat diperlukan. Proses pula perlu dilihat dalam konteks menggunakan kaedah atau teknik untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kadangkala teknologi juga dilihat sebagai arus pembangunan atau pemodenan dan biasanya apabila sesuatu organisasi itu maju dan berkembang adalah kerana pengaruh dan kesan penggunaan alat teknologi itu sendiri.

No comments:

Post a Comment